
Tuan Guru Dr. Haji Jahid Bin Haji Sidek dilahirkan pada 11 Februari 1940 di Batu Pahat, Johor. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Darjah Khas Sekolah Agama Kerajaan Johor (1957). Kemudian beliau meneruskan pengajian ke Sekolah Arab Kluang Johor dan Kolej Islam Klang. Pada Tahun 1972 beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Malaya. Seterusnya beliau memperoleh Ijazah Sarjana MA dalam bidang Usul Fikah (1975) dan Ijazah Kedoktoran Ph.D daripada Universiti yang sama (1992) dalam bidang Ilmu Tasawuf.
Beliau pernah menjawat jawatan sebagai guru agama Sekolah antara tahun 1964 – 1969 dan pernah pula dilantik sebagai guru penolong kanan selepas mendapat ijazah pertama. Awal tahun 1974 beliau menjadi pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera Universiti Malaya; dan dilantik menjadi Profesor Madya pada tahun 1992 hinggalah beliau bersara pada akhir tahun 1995.
Minatnya tentang tarekat cukup mendalam dan mendorongnya untuk mengkaji, mempelajari dan mengamalkan tiga tarekat, iaitu Ahmadiyyah, Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah yang berpengaruh dan mempunyai murid yang ramai.
Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ialah Berpawang dan Bersahabat dengan Jin daripada Perspektif Islam, Tokoh-tokoh dan Peristiwa Penting Sejarah Islam, Strategi Menjawab Sejarah Islam, Dhiaul Iman Fi Thariq ar-Rahman (Terjemahan Kitab), Shaikh dalam Ilmu Tariqah dan Kedudukan Qiyas dalam Perundangan Islam. Beliau juga banyak membentangkan kertas kerja untuk pelbagai seminar di peringkat antarabangsa dan kebangsaan, mengarang artikel ilmiah bagi ruangan akhbar (penulis tetap akhbar tabloid tempatan dalam ruangan “Perubatan Alternatif” dan lain-lain majalah.
Beliau adalah seorang Shaikh dalam Tariqah Naqsyabandiyyah Khalidiyyah yang memimpin amalan bersuluk sehingga sekarang di Madrasah Babul-Khayrat, Jalan Suka, Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru dan di Madrasah Madinatul Ilmi di Jalan Pekan-Kuantan, Kuantan, Pahang.
Hampir setiap malam beliau memberikan kuliah / ceramah agama di masjid atau surau di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, malah sebulan sekali beliau akan memberikan kuliah agama bulanan di Kuala Terengganu, Kuantan, Johor Bahru, Muar dan Seremban.
Bagi bulan Ramadhan Al-Mubarak, sepertimana juga pada tahun-tahun yang lepas kuliah harian di Masjid dan Surau ditangguhkan kepada selepas bulan Syawal. Akan tetapi jika ada jemputan kuliah insya-Allah Tuan Guru Dr. Hj Jahid akan menyampaikan kuliahnya.
No comments:
Post a Comment